Our School History | Sejarah Sekolah

             Pada tahun 1981, dengan dipelopori oleh seramai 18 orang guru, 4 orang kakitangan sokongan, 11 buah kelas dan 436 orang pelajar, SMK Kampung Nangka mula beroperasi dengan menumpangkan di bangunan SRK Perbandaran No.3 di Jalan Bandong, Sibu. Ketika itu sekolah ini menawarkan dua aliran iaitu Aliran Bahasa Malaysia dan Aliran Bahasa Inggeris. Pada pertengahan tahun 1982, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) telah ditubuhkan.

 

             Setelah dua tahun iaitu pada 1983, sekolah yang pada masa itu telah menampung seramai 815 orang pelajar telah berpindah ke tapak baru yang terletak bersebelahan dengan Lapangan Terbang Lama Sibu iaitu merupakan bekas tapak Maktab Perguruan Sarawak yang pada tahun yang sama telah berpindah ke Miri. Pada tahun 1983 itu jugalah kumpulan pertama pelajar-pelajar sekolah ini menduduki Lower Certificate Of Education (LCE) dan Sijil Rendah Pelajaran (SRP). Dua buah kelas pelajar Tingkatan Tiga telah menduduki Lower Certificate Of Education manakala empat buah kelas lagi telah menduduki Sijil Rendah Pelajaran. Untuk dua tahun pula berkongsi tapak yang sama dengan SMK Agama Sibu. Pada tahun 1986, sekolah ini telah membuka lembaran barunya dengan menyediakan tiga buah kelas untuk pelajar-pelajar Tingkatan Empat, iaitu sebuah kelas mirip sains dan dua buah kelas mirip kemasyarakatan.


              1987 merupakan era baru bagi SMK Kampung Nangka apabila sekolah ini telah berpindah ke tapak dan bangunannya sendiri. Tapak dan bangunan baru tersergam indah ini terletak di Tun Abang Haji Openg dengan kawasan seluas 5.413 hektar atau 13.37 ekar. Pada tahun yang sama, kumpulan pelajarnya yang pertama telah menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).


              Pada 11 Ogos 1988, SMK Kampung Nangka sekali lagi telah menempa sejarahnya yang tersendiri apabila sekolah yang bernilai RM 4,648, 800.00 ini telah dibuka dengan rasminya oleh YB Menteri Pendidikan Malaysia, Dato Seri Anwar Ibrahim. Selepas perasmian itu, nama SMK Kampung Nangka kekal dengan rasminya sebagai nama sekolah ini yang sah kerana sebelum tarikh itu, sekolah ini juga menggunakan nama SMK Bandar Sibu.


              Untuk menampung pertambahan bilangan pelajarnya setiap tahun, sebuah bangunan tiga tingkat tang mengandungi 15 buah bilik kelas telah siap dibina pada penghujung tahun 1993. Pada tahun 1994 pula, sekolah ini telah memulakan sekolah dua sesi iaitu pagi dan sesi petang.


             Pada 1 November 1997 satu lagi peristiwa penting tercatat dalam sejarah sekolah ini apabila dinaik taraf ke sekolah Gred A. Sehingga kini, SMK Kampung Nangka mengendalikan program pendidikan dari peringkat Tingkatan Peralihan hingga Tingkatan Lima.

           

Make a free website with Yola